Perhilitan tangkap buaya tembaga sesat di empangan - Utusan Malaysia

Perhilitan tangkap buaya tembaga sesat di empangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 24 Dis. – Seekor buaya tembaga seberat kira-kira 200 kilogram yang dipercayai `sesat’ di Empangan Durian Tunggal dekat sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri petang semalam.

Reptilia sepanjang 3.4 meter itu sebelum ini disedari muncul di empangan tersebut sejak 14 Disember lalu oleh penduduk yang kemudian segera memaklumkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Perhilitan negeri, Noorzakiahanum Mohd. Noh berkata, pihaknya dengan kerjasama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) membuat pemantauan di empangan sejak Jumaat lalu sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kewujudan buaya itu.

“Antara usaha dilakukan adalah mengeringkan kolam tadahan di empangan tersebut dengan menggunakan pam. Kerja-kerja menangkap dimulakan sejak Isnin minggu lalu dengan bantuan BKSA, SAMB, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba. Tangkapan berjaya dibuat kira-kira pukul 5 petang semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seorang kakitangan SAMB, Mohd. Sham Hussin, 34, memberitahu, dia percaya buaya tersebut ‘tersesat’ dari kawasan Machap dan telah masuk ke kawasan aliran empangan di Durian Tunggal.

“Saya rasa mungkin buaya itu datang ke empangan selepas makanan di kawasan Machap telah habis atau mungkin haiwan itu diganggu penduduk.

“Kita mungkin boleh lepaskan buaya itu tetapi nanti dia akan pergi ke Sungai Melaka dan bimbang akan mengganggu penduduk di sana,” katanya yang bertugas di empangan itu.

Reptilia berkenaan berjaya ditangkap dalam kawasan lumpur oleh Perhilitan dan difahamkan ia kini dibawa ke Paya Indah Wetland, Selangor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×