Kes polis maut jatuh bangunan, kertas siasatan lengkap minggu depan - Utusan Malaysia

Kes polis maut jatuh bangunan, kertas siasatan lengkap minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 24 Dis. – Kertas siasatan membabitkan kes seorang anggota polis yang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di Pulau Tikus di sini 17 Disember lalu dijangka dilengkapkan minggu depan.


Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, sehingga semalam pihak polis telah merakamkan percakapan 15 orang awam bagi membantu siasatan.


“Ada 10 lagi orang awam dikenal pasti dan kita akan panggil untuk merakamkan percakapan mereka hari ini.


“Lima anggota polis yang ditahan berkaitan siasatan kes ini dan didapati positif dadah pula ditukarkan bertugas serta-merta ke lokap berpusat,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), negeri di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mayat mangsa, Sofian  Shahari, 47, yang merupakan anggota polis Cawangan Khas IPD Timur Laut dijumpai oleh seorang pekerja hotel dalam keadaan tertiarap di atas kawasan parkir kereta di depan hotel di Pulau Tikus.


Sebelum kejadian, mangsa dipercayai berada di sebuah pusat karaoke bagi menyambut majlis hari jadi seorang anggota polis dari IPK negeri.


Menurut Thaiveegan, polis masih belum menerima laporan akhir daripada Jabatan Kimia berhubung kes berkenaan.


“Kita akan percepatkan siasatan kes ini dengan memanggil saksi-saksi kejadian ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×