Daripada badminton ke dunia nyanyian - Utusan Malaysia

Daripada badminton ke dunia nyanyian

SYAHMI IRFAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUATU yang biasa untuk mendengar seorang pelakon beralih bidang ke bidang nyanyian dan begitu juga sebaliknya. Berada dalam bidang yang sama, peralihan antara dua kerjaya ini sering berlaku dalam kalangan anak seni. Namun bercakap mengenai seorang pendatang baharu ini, ada yang berbeza. Merupakan seorang atlet badminton negara, siapa sangka dia kini selesa bergelar seorang penyanyi.

Berkongsi serba sedikit perjalanan kariernya kini, kongsi Syahmi Irfan dia sentiasa menghargai bakat nyanyian dimiliki. Namun dalam menunaikan hasrat keluarga untuk melihatnya berjaya dalam bidang sukan lantas dia bergelar atlet dahulu.

“Saya memang minat menyanyi dari kecil, keluarga juga tahu tetapi dalam masa yang sama mereka memberi dorongan untuk saya menyertai sukan badminton. Siapa sangka peluang saya sangat cerah dalam bidang sukan sehingga layak berada dalam skuad kebangsaan.

“Namun akibat kecederaan di bahagian pinggang kini saya lebih selesa bergelar pemain profesional. Tetapi dalam waktu yang sama saya kekal mencuba dalam bidang nyanyian dan siapa sangka tahun ini saya diberi peluang untuk bergelar seorang penyanyi pula,” katanya.

Tidak ada keperluan untuk dia memilih antara dua bidang ini, kata Syahmi, 19, sehingga kini dia selesa untuk membawa dua gelaran berbeza.

“Memang saya pilih bidang nyanyian dahulu, tetapi dalam masa yang sama tidak ada keperluan untuk saya tinggalkan sukan badminton. Saya anggap penglibatan dalam bidang sukan lebih kepada minat juga.

“Setakat ini keluarga memang memberi sokongan yang kuat untuk saya meneruskan minat saya dalam bidang nyanyian dan sukan,” jelasnya yang juga penuntut Diploma Sains Sukan di UiTM Shah Alam.

Tidak gentar dengan penilaian yang akan diberikan orang luar terhadap kemampuan suaranya, kongsi bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, sebagai pendatang baharu dia sentiasa bersedia dengan apa juga pandangan dalam memberi peluang untuk dia terus berkembang.

“Soal itu saya sudah bersedia, sebagai orang baharu tentunya kita memerlukan setiap peluang dan ruang untuk memberikan yang terbaik.

“Saya harap peminat muzik tanah air menyambut baik percubaan pertama saya. Insya-Allah, syarikat pengurusan dan saya sendiri telah merancang untuk menghasilkan lebih banyak karya pada masa akan datang,” katanya yang kini berada di bawah syarikat pengurusan Indigital Music.

Sementara itu, berkongsi mengenai lagu sulungnya berjudul Mungkir, kongsinya ada kisah di sebalik lagu ini yang cukup memberi impak buat dirinya.

“Mungkir berkisar tentang ego seorang lelaki yang gagal memaparkan cintanya. Melalui sikapnya itu juga menyebabkan cintanya tidak disambut. Ini adalah kisah di sebalik Mungkir.

“Lagu ini adalah hasil ciptaan saya dan Que Afiq,” kongsinya.

Terdahulu video lirik rasmi Mungkir yang dimuat naik sebulan lalu telah ditonton lebih 100,000 orang manakala video muziknya pula yang dilancarkan pada 18 November lalu sudah mencatatkan hampir 4,000 tontonan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×