18 pasangan jadi raja sehari - Utusan Malaysia

18 pasangan jadi raja sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 23 Dis. – Impian 18 pasangan melangsungkan perkahwinan dan bergelar raja sehari tercapai apabila dinikahkan beramai-ramai di Dewan Jubli Intan di sini semalam.
Mereka dinikahkan dalam satu majlis pernikahan beramai-ramai anjuran Persatuan Pegawai Masjid dan Surau Daerah Pontian (PPMSDP).

Setiap pasangan hanya membayar RM1,990 manakala kos selebihnya ditanggung PPMSDP dan majlis turut diserikan dengan kehadiran kira-kira 2,000 ahli keluarga pasangan terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan ketika merasmikan majlis tersebut menyifatkan langkah yang diambil PPMSDP amat baik sekali.

Katanya, pendekatan itu membantu mereka yang menghadapi kekangan kewangan bagi menyediakan kos perkahwinan dapat melangsungkan hari bersejarah bersama-sama pasangan masing-masing.

Menurutnya, kerajaan ne­geri juga menyediakan kursus perkahwinan percuma kepada anak-anak Johor yang hendak berumah tangga mulai tahun ini selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Program seperti ini perlu diadakan di setiap daerah supaya lebih ramai pasangan Islam yang ingin berumah tangga tetapi menghadapi masalah kewangan dapat dibantu,” katanya ketika merasmikan Walimatulurus Perdana di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot.

Terdahulu semua pasangan dinikahkan oleh empat jurunikah termasuk Nooh Gadot dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Khalil Mohd. Noor.

Aminolhuda berkata, kerajaan negeri sedia membantu bagi menyalurkan sumbangan jika mempunyai peruntukan mana-mana pihak yang sedia menjadi penganjur majlis seumpama itu.

“Walimatulurus Perdana secara berkelompok ini membantu bukan sahaja ibu bapa malahan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga supaya impian mereka terlaksana dengan mudah,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan pengantin yang berasal dari Kelantan, Mohd. Rasul Ibrahim, 32, bersyukur apabila hasratnya berkahwin dengan Nur Zamiah Abdul Rahman, 33, tercapai.

“Program ini merupakan inisiatif yang baik kerana memudahkan golongan kurang berpendapatan untuk melangsungkan perkahwinan dengan menyediakan sedikit perbelanjaan jika dibuat secara sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×