Replika kapal Bagan Datuk jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Replika kapal Bagan Datuk jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK 23 Dis. – Replika kapal Bagan Datuk di Waterfront Bagan Datuk di sini menjadi pilihan pengunjung bukan sahaja masyarakat setempat malah pelancong dalam dan luar negara.

Mercu tanda baharu Bagan Datuk itu menjadi tarikan pelancong yang datang ter­utama pada musim cuti persekolahan ini bagi melihat dengan lebih dekat replika bahtera ke­sultanan Melayu Perak.

Replika kapal yang tidak ubah seperti bahtera Sultan Perak Pertama, Sultan Muzzaffar Shah I pada abad ke-15 iaitu pada tahun 1528 itu, kini berada di bawah jagaan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan dilengkapi barang-barang hiasan sejarah.

Berada di dalam kapal tersebut, pengunjung akan mengetahui sejarah bagaimana Sultan Muzzaffar tiba di Bagan Datuk dan menyempurnakan istiadat mencecah kaki di Beting Beras Basah yang merupakan destinasi terakhir dalam istiadat pertabalan Sultan Perak.

Seorang pengunjung, Norazam Mohamad, 35, berkata, dia begitu teruja melangkah masuk ke dalam kapal itu yang dibina daripada komponen kayu dan besi selain dilengkapi maklumat sejarah berhubung kapal tersebut.

Dia yang datang dari Selangor berkata, kehadiran kapal tersebut bukan sahaja memboleh­kan dia mengetahui sejarah negeri ini malah dapat memberi pendedahan awal kepada anak-anaknya.

“Saya tidak menyangka dapat melihat kapal sejarah sultan pertama yang datang ke Bagan Datuk. Dahulu saya banyak mendengar daripada orang lama, tetapi kini saya boleh masuk ke dalam kapal dan melihatnya sendiri.

“Langkah meletakkan replika kapal ini di darat sangat bagus dan bermanfaat kerana kami boleh melihatnya dengan lebih dekat dan tidak perlu lagi pergi sehingga ke Melaka untuk melihat tinggalan sejarah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung, Amelina Misran, 26, berkata, pameran replika kapal itu memberi peluang kepada pengunjung mengetahui sejarah Raja-raja Melayu pada zaman dahulu yang ada di Bagan Datuk.

“Saya berharap pihak berwajib mempamerkan banyak lagi kisah sejarah di Bagan Datuk termasuk makam raja-raja dan produk dari daerah ini supaya ia menjadi santapan kepada gene­rasi datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×