MANCHESTER 23 Dis. – Tahun lalu, Manchester City mendahului dengan kelebihan 13 mata dalam kempen Liga Perdana Inggeris menjelang sambutan Krismas, namun, musim ini selepas ditimpa tiga kekalahan, sambutan perayaan tersebut pasti hambar buat skuad kendalian Pep Guardiola itu.
Semalam, City tewas 2-3 kepada Crystal Palace di Etihad dan keputusan tersebut menyebabkan juara bertahan Liga Perdana itu berada di tangga kedua dengan 44 mata selepas 18 perlawanan dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Kini peluang City untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut berdepan halangan besar dan kekalahan terbaharu menimpa Citizen membuka ruang kepada Liverpool mencongak nasib mereka pula.
Selepas ini City akan berdepan perlawanan ‘Boxing Day’ yang lebih mencabar apabila bertemu Leicester City yang menewaskan Chelsea di Stamford Bridge.
Dijangka pertemuan dua pasukan teratas liga di Manchester pada 3 Januari depan, mampu menjadi peluang buat Liverpool mengukuhkan kedudukan mereka andai dapat menundukkan City.
“Kami berada pada bulan Disember dan kami akan cuba bangkit untuk kembali memenangi perlawanan, bagi saya masih banyak pertemuan yang perlu diharungi. Kami perlu segera bangkit dan kembali menguatkan mental serta fizikal kami bagi mengharungi kempen ini,” kata Guardiola.
Dalam perlawanan di Etihad, tuan rumah terlebih dahulu mendapatkan jaringan pada minit ke-27 menerusi Ilkay Gundogan, namun, penguasaan City tidak kekal lama apabila Crystal Palace mudah meledak dua gol pada minit ke-33 menerusi Jeff Schlupp dan Andros Townsend pada minit ke-35.
Bermula babak kedua City yang cuba untuk bangkit, gagal menyerap tekanan daripada pasukan pelawat hingga membenarkan beberapa kesilapan mudah di benteng pertahanan, sekali gus, membolehkan Crystal Palace menambah gol ketiga pada minit ke-51 hasil sepakan penalti, Luka Milivojevic.
Satu lagi gol City hanya diperoleh pada minit ke-85 menerusi jaringan Kevin De Bruyne. – REUTERS










