2,000 anak Sabah serah borang sertai PPBM - Utusan Malaysia

2,000 anak Sabah serah borang sertai PPBM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kira-kira 2,000 anak Sabah yang menetap di sekitar daerah ini menyerahkan borang keahlian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Penyerahan borang tersebut diwakili oleh Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Bersatu, Adzmi KK Juatan kepada Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Abu Bakar Yahya.

Menurut Abu Bakar, kesemua mereka bertindak menyertai Bersatu sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

“Pada majlis hari ini, saya telah menerima kira-kira 2,000 borang keahlian daripada anak Sabah yang menetap di negeri ini khususnya daerah Shah Alam. 

“Walaupun mereka menyertai PPBM, akan tetapi apabila mereka kembali ke negeri Sabah semasa pilihan raya, mereka perlu menyokong mana-mana parti Pakatan Harapan yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jalinan Silaturahim Anak-Anak Sabah Kembali Ke Sekolah dan Penyerahan Borang Keahlian Bersatu di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, parti itu juga telah menerima banyak permohonan kemasukan baharu setiap hari termasuk membabitkan kaum Bumiputera. 

“Mereka yang mahu menganggotai Bersatu (PPBM), kita alu-alukan. Mungkin sebelum ini ada yang nak masuk tetapi tidak tahu (bagaimana mendaftar) kerana kita parti baharu.

“Jadi selepas ini mereka boleh dapatkan dan hantar borang keahlian di mana-mana pejabat Bersatu. 

“Bagaimanapun untuk pengesahan keanggotaan, kita tidak boleh buat keputusan kerana ia perlu dibawa ke mesyuarat terlebih dahulu untuk dipertimbang sebelum pendaftaran mereka diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Adzmi berkata, sehingga kini pertubuhan itu mempunyai ahli lebih 4,000 orang dan jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa.

Katanya, perancangan pada tahun depan adalah untuk melakukan jelajah di setiap negeri bagi bertemu dengan anak-anak Sabah yang berada di Semenanjung dan mengajak mereka untuk menyertai pertubuhan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×