PONTIAN 23 Dis. – Kira-kira 7,000 sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir di kawasan pantai timur bermula hari ini hingga 26 Disember.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, selain anggota tetap, sokongan para sukarelawan diperlukan bagi menghadapi situasi anjir.
“Selain anggota APM di Pahang, Kelantan dan Trengganu, bantuan dari negeri berhampiran termasuk peralatan dan logistik yang lain akan digerakkan sekiranya memerlukan.
“Perkembangan terbaru ini sudah dimaklumkan kepada negeri-negeri berkenaan yang berkemungkinan akan menghadapi banjir disebabkan berlakunya kejadian air pasang besar pada tempoh tersebut.
“Sebagai seketeriat bencana alam, APM sentiasa bersedia menggerakkan aset dan peralatan bersama-sama anggota ke lokasi kejadian supaya mangsa-mangsa terlibat dapat dipindahkan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kelengkapan operasi dan pengurusan pentadbiran kepada APM Daerah Pontian yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik di sini hari ini.
Roslan berkata, pegawai-pegawai APM di peringkat Pusat akan mula meninjau ke negeri-negeri di pantai timur mulai esok bagi melihat persiapan APM di negeri-negeri tersebut.
“Kita menjangka akan berlaku hujan lebat yang berpanjangan dan berkemungkinan akan berlaku banjir di kawasan-kawasan berisiko seperti di kawasan rendah, berhampiran sungai dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










