UMNO Sabah yakin pendekatan UMNO Pusat dibawakan Tok Mat - Utusan Malaysia

UMNO Sabah yakin pendekatan UMNO Pusat dibawakan Tok Mat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Dis. – UMNO Sabah menzahirkan keyakinan penuh menerusi beberapa pendekatan yang diketengahkan pemimpin Pusat khususnya Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat memberi manfaat terbaik kepada ahli di peringkat akar umbi.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, perkara itu termasuk memperkasakan parti menerusi penubuhan satu jawatankuasa khas dengan memberi kuasa lebih banyak kepada negeri meningkatkan strategi politik terutama memenangi Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU15).

“UMNO Sabah melahirkan harapan besar di bawah kepemimpinan beliau (Mohamad) yang menjalankan tugas-tugas Presiden untuk memastikan parti keramat ini terus menjadi jurucakap suara rakyat, khususnya kepada Bumiputera di Sabah.

“Kami juga yakin beberapa pendekatan yang dimaklumkannya juga akan memberi manfaat terbaik kepada ahli-ahli akar umbi bagi mendepani situasi politik yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Raime berkata, selain itu, penurunan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah turut memperkuatkan perjuangan parti terutama soal menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya juga yakin usaha yang lebih sistematik dan efektif dapat dilaksanakan dengan adanya kuasa autonomi penuh kepada UMNO Sabah.

“Insya-Allah UMNO Sabah pasti bangkit di atas kepercayaan UMNO Pusat kerana akar umbi perlukan kepemimpinan yang padu di peringkat atasan untuk memacu hala tuju yang lebih jelas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×