JPNT tutup tirai 2018 dengan kecemerlangan - Utusan Malaysia

JPNT tutup tirai 2018 dengan kecemerlangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 23 Dis. – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menutup tirai tahun 2018 dengan melakar kecemerlangan di peringkat kebangsaan menerusi pencapaian beberapa buah sekolah serta pelajar sepanjang bulan ini.

Didahului dengan kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman, Nur Najihah Al-Ashari Saiful Nizam yang meraih emas selain perak dan gangsa dalam Kejohanan Taek Won Do ITF Piala Menteri Pendidikan.

Rakan sekolahnya, Wan Muhamad Shaqirin Wan Muhamad Sabri, Nur Esha Shafika Zamri dari SMK Binjai, Kemaman serta Mohd. Rul Iqbal Zamri dari Kolej Vokasional Kemaman turut merangkul emas mengikut kategori masing-masing.

Selain itu, SM Sains Dungun juga cemerlang apabila menerima Anugerah Emas dalam Global I-Lead STEM Camp & International STEM Olympiad 2018 yang berlangsung di Unversiti Putra Malaysia (UPM) dari 16 hingga 21 Disember lalu.

Tiga pelajar yang menerima anugerah emas itu ialah Muhammad Farid Mohd. Asri, Muhammad Syuwari Ikhwan Kamarudin dan Nur Aqilah Mohamad Nasrudin.

Dalam pertandingan itu juga, Muhammad Farid dan Nur Aqilah turut menerima anugerah paling kreatif.

Selain itu, pelajar SMK Balai Besar Dungun, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin pula muncul johan keseluruhan Kejohanan BMX Remaja Sirkit 3 2018 di Nilai, Negeri Sembilan pada 15 dan 16 Disember lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Shafrudin Ali Hussin berkata, kontinjen Terengganu berjaya menduduki tangga kelima dalam pesta Majlis Sukan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (MSKPPM) di Kuching, Sarawak selama enam hari berakhir 21 Disember lalu.

Menurutnya, pencapaian itu lebih baik berbanding tangga ketujuh pada tahun lalu dan kontinjen Terengganu yang diwakili 150 atlet dalam kalangan guru serta kakitangan pendidikan di negeri itu menyertai sembilan acara yang dipertandingkan.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombusman), Datuk Talib Zulpilip yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×