BESUT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggalakkan rakyat negara ini agar memanfaatkan kemudahan permohonan memperbaharui pasport antarabangsa atas talian menerusi portal MyOnlinePasport.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kemudahan itu telah dimanfaatkan lebih 10,000 pemohon sejak ia dilancarkan pada September tahun lalu.
Beliau berkata, pemohonan pembaharuan pasport lebih mudah menerusi MyOnlinePasport dengan segala urusan termasuk memuatnaik gambar dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian.
“Kutipan pasport terbabit boleh dilakukan di cawangan terdekat dalam tempoh singkat iaitu antara 10 minit dan 15 minit sahaja selepas selesai proses pengesahan.
“Ia juga menjimatkan masa tempoh menunggu kepada pelanggan selain merupakan inisiatif mengurangkan kesesakan di pejabat cawangan Imigresen,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport Besut di Bangunan Persekutuan, Kampung Raja di sini hari ini.
Mustafar berkata, secara putara, JIM menerima hampir 2.5 juta permohonan pasport antarabangsa setahun atau kira-kira 20,000 sebulan di 96 cawangan di seluruh negara. – K! ONLINE










