BSN jumpa keluarga Adib, sahkan penyelesaian baki pembiayaan kereta - Utusan Malaysia

BSN jumpa keluarga Adib, sahkan penyelesaian baki pembiayaan kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) berkunjung ke rumah keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di sini hari ini bagi mengesahkan bantuan penyelesaian baki pembiayaan kereta milik Allahyarham berkuat kuasa serta-merta.

Kunjungan yang diketuai Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd. Ghani itu disambut ibu bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 63, dan Asma Aziz, 51.

Menurut Yunos, kunjungannya itu bagi memakluman dan mengesahkan sendiri tentang keputusan BSN untuk melunaskan semua baki pembiayaan kereta jenis Perodua Myvi kepada keluarga Muhammad Adib.

“Bantuan ini adalah bagi mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan Allahyarham yang merupakan seorang wira negara,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham di sini hari ini.

Kata beliau, pihak keluarga selepas ini hanya perlu menukar nama pemilik kereta tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kereta ini baru sahaja dibeli Allahyarham pada Oktober lalu dan disimpan di kampung halamannya,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Kassim mengucapkan terima kasih kepada BSN yang membantu menyelesaikan baki pembiayaan Allahyarham.

“Saya ucapkan terima kasih kepada BSN dan semua pihak yang terlibat,” katanya ringkas.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin lepas selepas dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×