PORT DICKSON – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui lemas sewaktu menyambut hari keluarga di sebuah hotel di Batu 12, Jalan Pantai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa dipercayai maut selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam renang di hotel itu.
“Mangsa, Mohammad Adam Raiyan Mohd. Saiful dan keluarganya menyertai majlis hari keluarga yang turut dihadiri kira-kira 50 orang lain di hotel berkenaan.
“Mangsa disedari hilang oleh ibu bapanya yang juga anggota tentera pada 2.45 petang sebelum ditemui terapung dalam kolam itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan pada pukul 4.16 petang.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Masjid Tanah, Melaka. – K! ONLINE










