Penyakit padi angin jejas persiapan anak ke sekolah - Utusan Malaysia

Penyakit padi angin jejas persiapan anak ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR 22 Dis. – Persiapan menghadapi sesi persekolahan anak-anak bagi tahun 2019 yang akan bermula tidak lama lagi meresahkan hampir 150 pesawah di daerah Kerian di sini berikutan tanaman mereka diserang penyakit padi angin.

Pesawah yang ditemui berkata, serangan penyakit padi angin itu yang melibatkan kira-kira 121 hektar sawah di sini telah menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Pemangku Ketua Unit Peladang Kecil Parit Abas, Kuala Kurau, Ishak Yunus berkata, padi angin menyebabkan padi yang hampir masak dan sudah sedia untuk dituai, tidak berisi atau kosong.

Menurutnya, penyakit tersebut tidak pernah berlaku kepada pesawah di sini sebelum ini.

‘‘Keadaan ini membimbangkan pesawah kerana pendapatan mereka merosot teruk kali ini.

‘‘Keadaan lebih teruk kerana ada pesawah yang menyewa bendang milik orang lain apatah lagi hasil padi hanya dapat dinikmati enam bulan atau dua musim setahun,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ishak memberitahu, sebelum ini, pendapatan dari sembilan hektar padi yang ditanam mampu menghasilkan 32 tan metrik padi, namun kali ini amat berkurangan.

Katanya, secara purata kos kerja-kerja sawah setiap 0.4 hektar tanah ialah antara RM1,000 hingga RM2,000.

Jelasnya, selain serangan padi angin, tanaman itu juga diserang penyakit karah, serta serangga seperti ulat dan rumput liar yang menyebabkan kualiti padi merosot.

‘‘Saya difahamkan akibat masalah ini ada pesawah yang terpaksa berhutang kepada tauke padi.

‘‘Apa yang meresahkan ialah pesawah perlu menyediakan perbelanjaan membeli keperluan persekolahan anak-anak untuk sesi akan datang yang bakal bermula tidak lama lagi,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×