Remaja 16 tahun antara ditembak mati Zionis - Utusan Malaysia

Remaja 16 tahun antara ditembak mati Zionis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT 22 Dis. – Kezaliman rejim Israel terus berleluasa apabila menembak mati tiga penduduk Palestin manakala 47 yang lain cedera ketika menyertai demonstrasi ‘Great March of Return’ di sempadan Gaza-Israel.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, mangsa-mangsa tersebut telah ditembak tentera Israel dengan peluru hidup dan peluru getah.

Tentera Zionis melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan yang berkumpul di kem-kem di sepanjang sempadan.

Portal PressTV melaporkan, tiga penunjuk perasaan yang maut adalah Mohammad Mo’een Jahjouh, 16; Abdul-Aziz Abu Shari’a, 28; dan Maher Yasin, 40.

Mereka yang cedera pula termasuk dua wartawan dan empat anggota perubatan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sebuah ambulans ditembak secara terus dengan gas pemedih mata di salah sebuah kem menyebabkan anggota perubatan mengalami sesak nafas.

Menurut Penyelaras Demon­strasi di Kampung Kafr Qaddoum, Morad Shtewi, tentera Israel menembak terus ke arah penunjuk perasaan.

Penduduk di Kafr Qaddoum dan bandar berdekatan me­nganjurkan demonstrasi aman meminta pihak berkuasa Israel membuka semula jalan utama kampung yang ditutup selama 15 tahun.

Sementara itu, Menteri Luar dan Hal Ehwal Ekspatriat, Riyad al-Malki meminta Rusia memainkan lebih peranan dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Beliau mahu melihat penyelesaian berasaskan dua negara dan penubuhan negara Palestin merdeka mengikut garis sempadan 1967.

Riyad mengulangi pene­rimaan Presiden Mahmoud Abbas bagi inisiatif Presiden Vladimir Putin mengadakan mesyu­arat dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di Rusia namun ditolak Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×