Hancur hati diperangkap kawan baik - Utusan Malaysia

Hancur hati diperangkap kawan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PERCERAIAN yang saya lalui amat menyayat hati. Lukanya terlalu dalam sukar saya lupakan, tetapi demi anak-anak saya terpaksa teruskan hidup yang amat pahit ini. Siapa sangka, perkahwinan kami yang berlangsung hampir 20 tahun hancur dalam sekelip mata sahaja, semuanya gara-gara kealpaan dan percayakan kepada kawan, tanpa berfikir secara waras akhirnya memakan diri sendiri.

“Siapa sangka kawan baik, yang saya percaya separuh mati rupanya dalam diam-diam meminati suami saya yang langsung tak pernah saya duga demikian berakhirnya rumahtangga kami. Rupanya bukan kawan saya saja meminatinya, dalam diam suami saya juga terlebih dahulu mencintainya dan mereka berhubung belakang saya tanpa disedari. Tetapi kalau depan saya mereka jarang bertegur sapa. Jadi kerana itulah saya tak pernah terfikir mereka boleh bercinta sakan di belakang saya.’’ Itu cerita Normelati tentang masalahnya sambil ingin tahu aktiviti Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT).

“Saya kenal suami saya, Ib ketika kami sama-sama bersekolah dahulu. Walaupun datang dari berlainan kampung, tetapi kami satu sekolah, maka pastilah sekolah tempat kami bertemu dan berkenalan. Habis SPM masing-masing mencari kehidupan sendiri. Saya bertuah sebab dapat kerja jadi kerani. Dari situ saya sambung belajar akhirnya saya dapat tawaran menyertai maktab perguruan dan tentulah saya jadi guru akhirnya.

“Ib pulak sambung belajar politeknik. Dia ada kemahiran tentang pendawaian elektrik. Dia kemudian mencari rezeki bekerja dengan kontraktor. Setelah beberapa tahun kami berkahwin akhirnya Ib jalankan bisnes sendiri. Dipendekkan cerita setelah berkahwin dek terlalu sibuk dengan tugas dan urusan rumah, saya banyak beri laluan kepada Ib untuk bekerja dengan bebas, sebab dia jujur dan rajin. Itu yang saya lihat dari luarannya, belakang saya lain pulak halnya.

“Kisah ini terbongkar setelah kami mempunyai tiga orang anak. Ib banyak melepaskan tugas mengurus anak-anak kepada saya, alasannya dia sibuk nak siapkan kerja, kerana itulah rezekinya. Saya setuju dan kami saling percaya-mempercayai.

“Tetapi pepatah orang tua-tua tak pernah salah,`air yang tenang itu jangan sangka tiada buaya.’ Rupanya dalam diam Ib bermain cinta. Kekasihnya bukan orang lain, kawan baik saya sendiri ketika jadi kerani dulu. Min namanya. Walaupun kami terpisah cuma sementara, bila saya jadi guru, kami bertemu ketika Min hantar dua orang anaknya ke sekolah saya bertugas. Min beritahu dia ibu tunggal, bercerai kerana suaminya kahwin dengan gadis lain. Jadi kerana simpati itulah kami jadi sahabat baik. Selalu juga Min datang ke rumah hujung minggu kami berbual. Tambahan anak-anak kami memang baik, kebetulan satu kelas.

“Dari situ Min dan Ib berkenalan. Tetapi langsung saya tak tahu mereka buat hubungan lain di belakang saya, hinggalah keadaan rumah tangga kami berantakan setelah saya jumpa telefon rahsia Ib yang disimpan dalam beg khas kerjanya, di bahagian belakang keretanya.

“Bila rahsia pecah, Ib nafikan ada hubungan dengan Min, tetapi Min tak nafikan, malah dia minta maaf atas keterlanjurannya. Rupanya dalam diam mereka sudah menikah secara rahsia selama setahun, walaupun perkahwinannya belum didaftarkan di negeri ini, tapi nikah mereka sah dan saya tak boleh maafkah mereka kerana telah mengkhianati saya. Rupanya Min berbaik-baik dengan saya ada tujuan lain. Atau memang Ib mencintai Min, itu saya tak peduli. Pokoknya mereka sudah nikah dan sudah mengkhianati kesetiaan saya selama ini.

“Kerana sedih dikhianati saya buat keputusan minta cerai. Memang Ib tak mahu ceraikan saya tetapi bila saya katakan kalau dia boleh khianati saya selama ini, mengapa saya tak boleh dilepaskan? Bagi diri saya sendiri apabila Ib berkahwin lagi itu bermakna dia tidak sayangkan saya lagi, sebab itu dia cari orang lain gantikan saya.

“Tapi kata Ib dia sayang kami berdua. Pada saya itu khayalannya kerana mahu senangkan hati saya. Dia tak boleh mencintai dua orang dalam satu masa. Sebenarnya dia tidak sayangkan saya tetapi hanya kesiankan saya , tak lebih dari itu.

“Saya minta Ib lepaskan sebab cinta dan sayang saya kepadanya sudah berkubur sebaik sahaja dia nikah lain. Saya tidak mahu hidup dengan lelaki yang hanya kesiankan saya. Dan saya kecewa apabila kasih sayang saya dikhianati, jadi lebih baik bercerai.

“Setahun lamanya Ib menyepi diri. Akhirnya kami bercerai, saya buat permohonan pindah ke tempat lain. Permohonan pertukaran saya diterima balik ke negeri saya, tetapi tempat saya mengajar jauh dari kampung. Tapi saya tak kisah asalkan dapat pindah. Tujuan saya kerana mahu melupakan peristiwa yang amat menyakitkan hati ini. Walaupun lukanya semakin sembuh, tetapi bisanya tak pernah hilang. Diharap tempat baharu ini boleh mengubati jiwa saya.

“Memang benar apa yang saya harapkan terlaksana. Suasana bekerja amat baik, perumahan yang disediakan selesa dan yang penting anak-anak boleh belajar dengan senang. Kelas agama pun tak jauh dan mereka boleh pergi dengan berjalan kaki. Pendek kata memang saya aman.

“Ketika mula pindah memang emak dan adik beradik datang membantu. Emak pula kerana terlalu jujur dan baik, rajin pula berbual dengan jiran tetangga. Malah dengan jujurnya mak mengharapkan mereka bantu saya dan anak-anak kalau sakit pening waktu malam.

“Rupanya salah seorang jiran ini isteri kepada rakan sekerja saya tak berapa berkenan dengan saya walaupun kami belum berkenalan lebih rapat lagi. Agaknya dia tak sukakan saya bertaraf ibu tunggal gamaknya. Sebab apabila emak saya bercerita habis dia cerita siapa saya, bekas suami, anak-anak saya dan kehidupan saya, semua dia cerita.

“Malangnya saya tak sempat nasihatkan emak supaya simpan sedikit rahsia kami. Tetapi mengenali emak, dia terlalu jujur dan buat kawasan perumahan saya macam kampungnya.

“Saya dengan jiran istimewa ini Kas namanya memang baik pada awalnya. Namun masuk sahaja setengah tahun, saya mula nampak dia tarik break. Mula hilangkan diri bila nampak saya balik. Hinggakan anak-anak saya pun dia larang berkawan dengan anak-anaknya.

“Saya tak nampak perubahan ini pada awalnya hinggalah anak-anak beritahu makcik Kas tak mahu mereka berkawan dengan anaknya. Bila saya tanya apa sebabnya. Mereka juga tak tahu, kalau dulu mereka boleh keluar masuk rumah makcik Kas kini di larang. Mereka cuma berkawan semasa di sekolah sahaja.

“Awalnya saya sangka tentu anak-anak buat hal, rosakkan barang, atau buat sepah rumah Kas, tetapi mereka nafikan. Cuma mereka dilarang masuk ke rumah makcik Kas.

“Bukan itu sahaja, emak saya pernah panggil Kas hendak beri buah duku dan manggis dari kampung tetapi bila panggil Kas tidak jawab. Emak pun pelik, kerana sebelum itu mak nampak Kas keluar buang sampah, tetapi bila di panggil dia tak jawab. Saya beri alasan mungkin Kas tak dengar. Begitulah keadaannya dan saya tak pernah ambil pusing.

“Tetapi apabila hampir setahun berlalu, barulah saya faham rupanya Kas cemburukan saya dengan suaminya. Rasa cemburu Kas menjadi-jadi bila saya dan suami Kas berkursus bersama. Saya yang tak tahu hal pergilah macam biasa. Sebab masing-masing ada kereta dan saya memang tak suka tumpang kereta orang lain terutama lelaki.

“Kisahnya terbongkar apabila ibu kepada anak murid saya, Kak Mon namanya, kebetulan dia berniaga kuih muih di pekan berdekatan. Kata Kak Mon dia dah lama nak cerita pada saya tetapi segan dan takut saya terasa hati. Tetapi bila keadaan semakin mendesak, dia terpaksa bercakap tentang perkara ini walaupun dia tahu saya tak akan percaya.

“Semalaman saya berfikir apa patut saya buat. Takkan nak pindah lagi atau patutkah saya terus terang dengan Kas bahawa saya tak berniat nak rampas suami dia, kami cuma rakan sekerja. Tak mungkin Kas percaya.

“Seminggu lamanya saya berfikir, akhirnya saya buat keputusan mohon pindah kerja ke tempat lain, dekat bandar, dengan alasan memudahkan saya sambung belajar luar kampus. Alasan yang tepat. Macam biasa permohonan bukan senang dapat, buat sementara memang saya terpaksa lalui kehidupan yang amat terseksa ini, namun doa saya satu hari nanti akan tercapai juga. Rasanya usia saya belum tua lagi untuk mencapai cita-cita tersebut.

“Bermula tahun hadapan saya akan usahakan hasrat saya ini, walaupun menyulitkan. Niat yang baik tidak akan Allah hampakan dan rasanya inilah jalan terbaik untuk saya. Kahwin lagi bukan cita-cita saya. Doa saya keinginan saya ini menjadi inspirasi kepada anak-anak untuk belajar lebih kuat lagi untuk masa depan mereka.

“Harapan saya, kehancuran hati ini hanya akan terubat apabila saya sambung belajar demi masa depan saya yang lebih cemerlang.” Itu cita cita Normelati yang tidak mahu dihimpit dengan cerita dan kisah perebutan suami yang menyakitkan hati dan jiwanya. Kepada yang ingin tahu KSIT dan kelas bantuan guaman akan diadakan pada 29 Disember ini, jika berminat sila telefon 0192393419.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×