INGATKAN semuanya sudah berakhir tetapi nampaknya kisah antara mereka nampaknya masih menjadi bualan ramai sehingga ke hari ini.
Ramai yang mengharapkan kisah hitam yang berlaku ditinggalkan sementelah Syafiq Farhain terus membina nama dan menjadi penyambung legasi kepada arwah bapanya, Saleem Iklim.
Hadir menghiburkan peminat di acara akhir Gadis Panca MyBeauty 2018 minggu lalu, Syafiq menggamit memori tetamu dengan dendangan lagu Suci Dalam Debu.
Lagu tersebut adalah nyanyian asal arwah bapanya yang sememangnya menjadi siulan ramai hingga hari ini.
“Tiada apa isu yang harus dibangkitkan,” kata Syafiq mengelak sebarang spekulasi awal.
Pastinya kemelut yang berlaku antara mereka sudah diketahui ramai sehingga ada yang mendakwa dia tidak boleh menyanyikan lagu-lagu popular bapanya.
Jika ada yang masih ingat, Syafiq sebelum ini pernah dilarang menggunakan nama Saleem untuk tujuan publisiti dan persembahan.
Mengulas isu berkenaan, kata Syafiq tiada siapa yang boleh menghalang untuk berbuat demikian. Apa lagi lagu-lagu yang pernah dirakamkan oleh arwah adalah hak milik syarikat rakaman dan jika ada permintaan, dia pasti akan menyanyikan lagu Saleem.
“Semuanya bergantung kepada saya untuk menyanyikan lagu-lagu arwah. Kalau mengikut undang-undang sesiapa pun tidak berhak untuk menghalang. Cuma sebelum ini, menghormati permintaan mereka untuk saya tidak menyanyikan lagu-lagunya,” ujar Syafiq.
Tidak mahu terus memanaskan isu tersebut, dia berharap semua pihak menghentikan segera isu itu. Lebih baik dia terus bercerita tentang kerjaya yang sedang meningkat naik yang lebih ‘membahagiakan.’
Gembira kerana dapat memeriahkan majlis akhir pencarian bakat baharu tersebut, Syafiq tidak keseorangan sebaliknya turut ditemani Wany Hasrita dan Amelina yang turut sama menghiburkan tetamu.
Pastinya Dewan Besar Utusan, Kuala Lumpur yang menjadi saksi kepada 10 finalis gamat dengan kehadiran barisan artis popular yang hadir memberikan sokongan.
Meriah dalam santai
Kemeriahan majlis akhir Gadis Panca MyBeauty 2018 turut diserikan dengan kehadiran ramai artis tempatan. Antara yang dilihat memenuhi barisan tempat duduk ialah Datuk Seri Shah Rezza, Shiha Zikir, Arja Lee, Harris Anuar, Nafiez Zaidi dan ramai lagi.
Kehadiran mereka juga sebagai sokongan buat barisan finalis yang akan menghiasi industri seni tempatan di masa akan datang.
Bukan mereka sahaja, malah acara akhir itu menjadi lebih meriah dengan persembahan penyanyi tempatan. Artis muda Meer Nash dan juga Chubb-E membuka pentas persembahan sebelum acara akhir dilihat sebagai ‘salam perkenalan’ untuk semua.
Meer sanggup terbang dari Pulau Pinang ke ibu kota pada hari tersebut semata-mata mahu menyaksikan kemeriahan Gadis Panca MyBeauty 2018 sekali gus menghiburkan peminat.
Sementara itu, Chubb-E pula yang adalah juara program Ceria Megastar menganggap ini adalah peluang terbaik untuk dia memperkenalkan bakatnya kepada lebih ramai peminat.
Majlis pada petang itu dikendalikan oleh Joey Daud sebagai pengacara. Sepanjang berlangsung majlis, penonton tidak kering gusi mendengar celoteh Joey yang mencuit hati. Ada sahaja jenaka yang diselitkan bagi meredakan debaran finalis dan juga tetamu.










