KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan telah mengarahkan peguamnya menarik balik saman berhubung royalti minyak terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan kira-kira dua bulan lepas, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, kerajaan negeri meminta Tommy Thomas selaku peguam yang mewakili Kelantan mengambil tindakan sewajarnya di mahkamah berhubung penarikan balik saman berkenaan.
“Kita sudah jelas buat keputusan dan pendirian iaitu tarik balik saman malah Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) sendiripun sudah memaklumkan kerajaan persekutuan tentang perkara ini, cuma saya tidak pasti sama ada secara rasmi (bertulis) ataupun lisan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Untuk rekod, kerajaan Kelantan melantik Thomas sebagai peguamnya sebelum beliau dilantik menjadi peguam negara pada 4 Jun lalu.
Ditanya sama ada penarikan balik saman itu punca kelewatan dalam pembayaran royalti minyak tersebut, Mohd. Amar berkata perkara berkenaan diserahkan kepada kerajaan pusat yang sepatutnya berbuat demikian sebelum penghujung tahun ini.
Semalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd. Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan belum menerima sebarang notis berhubung penarikan balik saman oleh Kelantan terhadap Petronas mahupun kerajaan persekutuan berhubung tuntutan royalti yang difailkan pada 2011 itu. – Bernama










