Nama Muhammad Adib diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes - Utusan Malaysia

Nama Muhammad Adib diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KUBU BHARU – Kehilangan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim baru-baru ini amat memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya ahli keluarga serta seluruh warga JBPM.

Bagi memperingati jasa serta pengorbanan beliau, nama Allahyarham telah diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, di sini semalam.

Komandan ABPM Wilayah Tengah, Md. Ali Ismail berkata, Muhammad Adib merupakan simbol pengorbanan dan perjuangan setiap anggota bomba. 

“Beliau bagaikan wira kepada kami yang berjuang hingga ke akhir nyawa. Justeru itu, nama Adib sentiasa terpahat di hati semua rakyat Malaysia terutama kami yang menyarung uniform yang sama dengan beliau. 

“Tugu peringatan ini juga menjadi tanda ingatan dari JBPM dan Akademi bahawa jasa mereka yang terkorban sentiasa dikenang selamanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehingga hari ini, tugu peringatan tersebut telah merekodkan sebanyak 23 nama anggota bomba yang terkorban ketika bertugas di seluruh negara sejak tahun 1993.

Menurut Md. Ali, Muhammad Adib adalah individu yang ke-24 selepas enam anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong pada 3 Oktober lalu.

“Tugu peringatan ini merupakan cetusan idea Ketua Pengarah JBPM, Datuk Muhamad Hamdan Wahid.

“Ia dibina oleh pelatih Kursus Diploma Sains dan Kebombaan (KDSK) Siri 1 dan dirasmikan Datuk Muhammad Hamdan ketika menyempurnakan majlis penutup kursus berkenaan pada September lalu,” katanya.

Tambah beliau, tugu peringatan tersebut juga dibuka untuk kunjungan orang ramai sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada pengorbanan anggota bomba terbabit.

Tugu
Tugu peringatan yang menjadi tanda ingatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Akademi bagi mengingati jasa mereka yang terkorban

Terdahulu, Muhammad Adib, 24, yang merupakan Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya mengalami kecederaan parah selepas dipukul sekumpulan perusuh dalam satu kejadian perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×