KUANTAN 21 Dis. – Pencapaian kadar penyelesaian kes bagi unit-unit siasatan polis kontinjen negeri belum memuaskan dan perlu diperbaiki bermula tahun depan agar pengadu berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan kepolisan yang diberikan kepada mereka.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pihaknya telah mengkaji kertas-kertas siasatan lama dari 2000 hingga 2017 dan mendapati masih banyak kes yang ‘terperap’ disebabkan pelbagai faktor seperti pertukaran serta kelemahan pegawai penyiasat dalam mengendalikannya.
Berikutan itu, kata beliau, pihaknya menetapkan satu sasaran penyelesaian kertas-kertas siasatan yang mesti dilakukan oleh semua unit siasatan jabatan terlibat seperti Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
“Kita mengesan banyak kertas siasatan yang belum diselesaikan. Kita menyasarkan untuk menyelesaikannya secara berperingkat menerusi semakan-semakan yang saya sendiri jalankan setiap bulan dengan kehadiran ketua jabatan yang berkenaan, ketua polis daerah serta ketua bahagian siasatan di daerah terlibat.
“Saya telah tetapkan kadar penyelesaian ini sebanyak 20 peratus daripada baki kes setiap bulan. Kita percaya masuk suku ketiga tahun depan, kita akan dapat menyelesaikan semua kertas siasatan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen negeri di pekarangan Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










