SHAH ALAM 20 Dis. – Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) akan turut mengadakan himpunan aman bagi menuntut keadilan ke atas anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, yang maut akibat dipukul perusuhan ketika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.
Himpunan itu yang akan diadakan di Dataran Seni Klang, dekat sini, pada 25 Disember, turut dijadikan platform bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan dan menuntut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat pemimpin Hindraf tersebut.
Wakil penganjur perhimpunan itu, Abu Bakar Mohamed berkata, pihaknya juga akan menghantar satu memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya campur tangan dalam isu tersebut kerana kes kematian Muhammad Adib menggugat perpaduan dan keamanan negara.
“Perhimpunan ini diadakan untuk menuntut keadilan dan menjemput sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama kerana sebagai rakyat Malaysia, kita menentang sekeras-kerasnya pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menerima notis memaklumkan bahawa satu himpunan akan diadakan pada tarikh tersebut.
“Kita telah menerima notis ini pada 2.30 petang semalam dan tempoh yang diperlukan untuk kelulusan mengambil masa 10 hari.
“Keputusan kelulusan permohonan tertakhluk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, jika tidak mendapat kelulusan sekalipun penganjur tetap akan meneruskan himpunan ini.
“Oleh demikian, kita telah bersiap sedia dan menempatkan anggota dan pegawai daripada semua bahagian untuk memastikan keadaan terkawal,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE.










