KUALA LUMPUR 20 Dis. – Selepas mendapat pengesahan memangku jawatan Presiden UMNO daripada Mesyuarat Pengurusan UMNO semalam, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi buat kali pertama, esok.
Difahamkan antara agenda utama mesyuarat berkenaan adalah membincangkan tentang hala tuju parti selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bercuti daripada jawatan Presiden UMNO.
Perkara tersebut disahkan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin yang turut menjemput media hadir ke majlis sidang akhbar mesyuarat berkenaan.
“Esok pukul 3 petang beliau (Mohamad) akan mempengerusikan mesyuarat buat kali pertama. Agenda mungkin menjurus kepada ke arah memperbaiki parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid mengumumkan bercuti daripada jawatan Presiden UMNO ekoran tindakan Ahli Parlimen dan pemimpin parti itu keluar parti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan meletak jawatan sebaliknya hanya bercuti buat sementara waktu. – UTUSAN ONLINE











