Armada mahu Tun M pecat Waytha - Utusan Malaysia

Armada mahu Tun M pecat Waytha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Nampaknya bukan sahaja parti pembangkang yang mahu P. Waytha Moorthy dilucutkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, desakan sama turut disuarakan oleh sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut sumber terdekat, Ang­katan Bersatu Anak Muda (Armada) telah menemui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menyerahkan me­morandum menuntut peletakan jawatan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu di pejabatnya pagi ini sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung.

 

“Armada dipercayai tetap dengan pendirian dan membawa suara akar umbi mendesak Waytha Moorthy dilucutkan jawatan.

“Satu memorandum telah dihantar oleh sayap itu kepada Tun (Dr. Mahathir) dan meminta beliau mengkaji secara mendalam desakan yang dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Memorandum itu juga difahamkan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang didakwa telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Khabar angin timbul apabila beberapa pimpinan Armada memuat naik gambar pertemuan dengan Dr. Mahathir di pejabatnya pagi ini bersama-sama keratan memorandum yang dihantar.

Dalam gambar yang tersebar tersebut, turut kelihatan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan Exco Pendidikan Armada, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Kemarahan rakyat terhadap Waytha Moorthy tercetus apabila beliau mengumumkan kerajaan akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun hadapan.

Ia berterusan apabila menteri yang memegang portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial itu gagal memainkan peranan dalam usaha menenteramkan keadaan ketika kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dan memuncak apabila anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dipukul dalam kejadian rusuhan itu me­ninggal dunia kelmarin.

Bukan itu sahaja, kemarahan rakyat turut dizahirkan menerusi satu petisyen dalam laman Change.org yang menuntut supaya Waytha Moorthy dilucutkan jawatan.

Sehingga hari ini, hampir 300,000 orang telah menadatangani petisyen tersebut.

Desakan supaya Waytha Moor­thy dilucutkan jawatan turut disuarakan netizen menerusi media sosial, termasuklah di komen balas kepada hantaran Dr. Mahathir dalam laman Twitter beliau semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×