Bersatu diramal jadi parti dominan PH - Utusan Malaysia

Bersatu diramal jadi parti dominan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Bermula dengan hanya 13 kerusi Parlimen, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menjadi parti paling utama Pakatan Harapan (PH) berikutan se­nario politik semasa selain keretakan yang dihidu berlaku dalam PKR.

Perkembangan politik termasuk PKR berpecah kepada dua kem dan kehilangan ‘pu­teri’ parti, Nurul Izzah Anwar dalam saf kepemimpinan di­jangka membuatkan rakyat mula beralih kepada Bersatu sebagai parti kerajaan berdasarkan barisan kepemimpinan yang berpengalaman dan stabil.

Pertambahan ahli-ahli Bersatu yang majoritinya dalam kalangan bekas pemimpin dan ahli UMNO juga dijangka memperkasakan lagi parti yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu terutama dalam usaha mengumpul sokongan pengundi Melayu.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali mengakui Bersatu semakin kukuh serta tidak mustahil menjadi parti kerajaan yang paling diharapkan orang Melayu.

“Bukan bererti Bersatu lebih baik daripada UMNO, cuma disebabkan pergolakan kepemimpinan dalam UMNO ketika ini, membuatkan Bersatu seolah-olah mengisi kekoso­ngan yang ada kepada orang Melayu.

“PKR pula parti pelbagai kaum dan sokongan yang boleh diterima agak terhad. Kita lihat bagaimana parti itu sukar menembusi kawasan orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penganalisis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul turut sependapat dengan menganggap peletakan jawatan oleh Nurul Izzah sebagai Naib Presi­den PKR memperlihatkan perpecahan memang wujud sejak pemilihan PKR yang lalu.

“Ini memberikan kelebihan kepada Bersatu yang dilihat lebih stabil. Tidak mustahil Bersatu akan mendahului PKR sebagai parti dominan dalam PH,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×