TELUK INTAN 19 Dis. – Sebanyak RM1.07 juta bayaran saman berjaya dikutip pada Hari Bertemu Pelanggan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak yang diadakan selama tiga hari sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, sebanyak 8,984 saman diselesaikan oleh pesalah trafik yang mengambil peluang menyelesaikan bayaran saman sempena penawaran diskaun sehingga 50 peratus itu.
Katanya, program yang berakhir hari ini menarik kunjungan kira-kira 2,500 pelanggan yang datang untuk menyemak dan membuat pembayaran.
“Pada hari pertama, kita mengutip sebanyak RM281,560 bayaran melibatkan 2,343 saman. Jumlah kutipan itu bertambah pada hari kedua iaitu RM347,740 dengan 2,906 saman dibayar manakala hari ini pula 3,735 saman bernilai RM445,550 telah diselesaikan.
“Secara keseluruhannya program selama tiga hari yang berakhir hari ini berjalan lancar dan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










