UMNO Langkawi tidak akan terkubur - Utusan Malaysia

UMNO Langkawi tidak akan terkubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 19 Dis. – Tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid yang dikatakan bakal bersama lebih 100 ahli serta kepemimpinan lain mengumumkan keluar parti esok, langsung tidak akan menjejaskan parti jauh sekali menyebabkan UMNO Bahagian Langkawi terkubur.

Sebaliknya, Timbalan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz menegaskan, langkah tersebut sebenarnya lebih baik dan sebagai proses pemutihan melibatkan pemimpin tidak setia serta langsung tidak mempunyai semangat perjuangan.

Katanya, masih ramai pemimpin di Langkawi yang layak dan berpontensi untuk menguruskan UMNO di kawasan berkenaan tanpa perlu bimbang dengan tindakan segelintir yang keluar parti itu.

“Kita memantau perkembangan di Langkawi dan tidak sampailah tahap UMNO di kawasan itu bakal terkubur. Tindakan ini (keluar parti) mungkin atas rasa tidak puas hati dan kecewa yang mereka sendiri tahu.

“Lagipun pemimpin itu (Mohd. Rawi) telah ditolak kebanyakkan ahli apabila tewas dalam perebutan Ketua Bahagian UMNO di Langkawi sebelum ini. Kita hormat keputusan beliau, di situ kita dapat lihat sejauh mana perjuangan mereka yang meninggalkan parti di saat susah dan menumpang pada masa senang,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Kumpulan tersebut yang diketuai Mohd. Rawi dijangka mengadakan sidang akhbar mengenainya di sebuah hotel di sini esok dan jemputan media mengenainya telah diedarkan hari ini.

Sebelum itu, portal Berita Harian Online melaporkan, lebih 100 ahli termasuk kepemimpinan kanan UMNO Langkawi dijangka umum keluar parti, esok, sekali gus menyaksikan Bahagian terbabit mungkin menjadi yang pertama dibubarkan di negara ini.

Portal berita tersebut yang memetik sumber dalam laporannya memaklumkan bahawa tindakan keluar parti beberapa pemimpin kanan Bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri menyebabkan keadaan kecoh pada peringkat UMNO Kedah dan Pusat apabila Langkawi disifatkan lubuk kekuatan parti itu.

Mengulas lanjut, Othman berkata, selepas selesai proses pemutihan, UMNO selepas ini akan menjadi lebih segar dengan dibarisi pemimpin-pemimpin yang mempunyai semangat perjuangan sejati. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×