Malaysia lobi acara lepas beramai-ramai berpasukan - Utusan Malaysia

Malaysia lobi acara lepas beramai-ramai berpasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Malaysia sudah memulakan gerakan melobi semua negara di rantau Asia Tenggara bagi mendesak majlis Olimpik negara masing-masing menambah disiplin seperti lepas beramai-ramai berpasukan dan beberapa acara lain kategori wanita dalam Sukan SEA 2019 Manila.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan, beliau secara peribadi sudah mula menghubungi beberapa presiden persatuan termasuk Thailand dan Brunei.

“Selaku Presiden PKBM saya tidak boleh berperanan mendesak penganjur acara berbasikal ataupun Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PSGOC). Kuasa saya hanya ada pada kapasiti selaku Delegasi Teknikal Berbasikal Sukan SEA 2019.

“Bagaimanapun selaku Presiden ACA (Persatuan Berbasikal Asean) saya perlu memaklumkan ahli gabungan semua perkembangan berkaitan acara berbasikal di Sukan Sea 2019. Setakat ini, beberapa negara sangat berminat mendesak Filipina senaraikan acara lepas beramai-ramai berpasukan.

“Thailand misalnya memiliki barisan pelumba yang kuat dan mereka percaya boleh meraih pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai berpasukan di Manila nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin Abu Samah mendedahkan bahawa Filipina melakukan tindakan lucu apabila hanya membenar dua pelumba menyertai acara lepas beramai-ramai, selain enggan menambah disiplin seperti lepas beramai-ramai berpasukan.

Tindakan tersebut dianggap melucukan dan bertentangan dengan amalan biasa di Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang kebiasaanya membenarkan empat pelumba berkayuh sepanjang perlumbaan.

Selain daripada itu, penganjur turut menyenaraikan tiga acara pelik dalam disiplin BMX iaitu freestyle park, freestyle street dan freestyle best trick.

Abu Samah menegaskan, penganjur acara berbasikal Sukan SEA kali ini perlu menambah sesuatu acara sekiranya sekurang-kurangnya tujuh negara mendesak PSGOC berbuat demikian.

“Saya positif dan percaya acara lepas beramai-ramai berpasukan akan disenaraikan sekali gus menambahkan peluang Malaysia untuk meraih lebih banyak pingat emas menerusi disiplin lebuh raya di Sukan SEA 2019,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×