SAUDARA PENGARANG,
PERHATIKAN siapa yang suka bangun seawal pagi dan kelihatan rumah terang benderang pada waktu subuh? Jika kawasan taman perumahan itu didiami pelbagai kaum, orang Cina baik yang muda atau warga emas sudah bersedia untuk memulakan pekerjaan masing-masing sama ada membuka kedai runcit ataupun berkebun dan tidak kurang pula kelihatan bersenam seperti berjoging atau taici.
Orang Melayu pula jarang dapat dilihat berjoging atau bersenam ringan. Alasan terbaik adalah mereka sedang bersedia untuk menunaikan kewajipan solat berjemaah di surau atau masjid.
Persoalan lagi, berapa ramaikah jemaah yang rajin pergi ke masjid atau surau untuk berjemaah solat subuh? Katakanlah sesebuah taman perumahan atau perkampungan, penduduk Melayu 500 orang tetapi apabila dinisbahkan umat Islam datang solat berjemaah, tidak sampai pun 20 orang hadir.
Yang lain di mana? Oleh demikian, apa kata supaya kita merubah cara hidup kita ke arah lebih positif dan bertenaga. Dicadangkan setiap masjid dan surau selepas menunaikan solat subuh dan berzikir, apa kata adakan senaman ringan sekurang-kurangnya sejam di pekarangan masjid atau boleh juga berjoging beramai-ramai di sekitar taman perumahan. Sambil beramal, kita beriadah pula untuk menjaga kesihatan agar sentiasa cergas, ceria dan bertenaga.
SYED ABDULLAH
SYED OSMAN
Ampangan, Seremban










