KUALA LUMPUR 18 Dis. – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar segala polemik berkaitan dengan kepemimpinan parti itu dapat dihentikan.
Beliau turut berharap seluruh pemimpin dan pendokong wadah perjuangan UMNO di semua peringkat dapat kembali memperkukuhkan saf dan memfokuskan kepada agenda pembaharuan serta pemerkasaan parti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana berjiwa besar dan mendengar suara akar umbi dengan memberikan kepercayaan kepada Datuk Seri Mohammad Hassan selaku Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.
“Sesungguhnya rakyat amat menanti dan mendambakan agar UMNO benar-benar berubah melalui proses muhasabah serta pengislahan seterusnya kembali bangkit dengan wajah baharu berpaksikan akar perjuangannya yang sejati demi mempertahankan nasib rakyat, martabat agama dan maruah bangsa.
“Sekali lagi saya mewakili Pemuda UMNO merakamkan ucapan penghargaan setingginya kepada Ahmad Zahid atas segala sumbangan beliau kepada wadah perjuangan UMNO selama ini. Moga Allah memberkati dan merahmati segala sumbangan yang dicurahkan,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.
Ahmad Zahid hari ini menyerahkan kepada Mohamad menjalankan tugas-tugas Presiden parti bagi menyelamatkan UMNO daripada terus berpecah dan demi penyatuan ahlinya.
Menurut Presiden UMNO itu, langkah tersebut penting dalam usaha memastikan UMNO bangkit kembali terutama ketika ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pelbagai tekanan agar meninggalkan parti itu. – UTUSAN ONLINE










