Sasar 100,000 penumpang bas GO-KL sehari - Utusan Malaysia

Sasar 100,000 penumpang bas GO-KL sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan peningkatan sebanyak 100,000 penumpang sehari menggunakan perkhidmatan Bas GO-KL yang disediakan secara percuma untuk warga kota menjelang tahun depan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, secara purata hampir 22 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan bas GO-KL dalam setahun manakala 60,000 penumpang harian menikmati kemudahan itu dengan 40 buah bas dan empat laluan yang ditetapkan.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai dengan cadangan penambahan laluan baharu dari kawasan perumahan atau pinggiran bandar ke stesen transit yang berhampiran.

“Kementerian akan mengkaji pemilihan laluan baharu bas GO-KL ini termasuk keutamaan kepada golongan B40, kawasan perumahan sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kompleks kerajaan serta permintaan tinggi berdasarkan data terkini.

“Pihak kementerian bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenalpasti dua laluan baharu yang boleh memainkan peranan sebagai bas perantara ‘first mile’ iaitu di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Universiti ke PPR Sri Pantai dan laluan Terminal Tun Razak ke Kementerian Pertahanan,” katanya.

Khalid berkata demikian dalam majlis penyerahan Operasi Bas GO-KL dan Penggunaan B10 Diesel bagi Kenderaan DBKL daripada Kementerian Pengangkutan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Tambah beliau, DBKL adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang menerajui penggunaan biodiesel B10 pada 813 buah kenderaan diesel milik DBKL sejajar dengan sasaran untuk meningkatkan lagi penggunaan biodiesel demi kesejahteraan masyarakat dan kualiti udara bandar raya Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Qamar Wan Noor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×