KUALA LUMPUR 18 Dis. – Khabar angin bertiup kencang kononnya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bakal menamatkan zaman solonya dan pengumuman peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR semalam dikatakan berkait rapat dengan dakwaan beliau akan berkahwin.
Utusan Online cuba menghubungi anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, namun sehingga kini masih belum dijawab.
Bagaimanapun, menurut sumber terdekat kepada Nurul Izzah, peletakan jawatan semalam tiada kaitan dengan dakwaan Ahli Parlimen itu akan berkahwin.
“Saya sahkan bahawa tidak ada sebarang maklumat mengatakan YB (Nurul Izzah) akan tamatkan zaman solo.
“Kiranya, peletakan jawatan semalam tidak berkait dengan isu zaman solo tersebut,” katanya menerusi Whatsapp kepada Utusan Online, hari ini.
Peletakan jawatan beliau secara mengejut mencetuskan teka-teki apakah punca Nurul Izzah meletakkan jawatan secara tiba-tiba.
Beberapa dakwaan yang dikatakan mengapa beliau meletakkan jawatan ialah kerana tidak berpuas hati dengan kemasukan Ahli-ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang boleh menggugat hasrat Anwar menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE










