PULAU PINANG 18 Dis. – Mutiara Food Bank, sebuah program bantuan makanan kepada masyarakat yang diperkenalkan kerajaan negeri ini untuk membantu golongan memerlukan bakal berkembang ke seluruh negara menerusi pelancaran Food Bank Malaysia pada Sabtu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Food Bank, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, program pelancaran Food Bank Malaysia itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini.
“Pada majlis ini Perdana Menteri juga akan turut merasmikan pelancaran Yayasan Food Bank dan Central Kitchen Mutiara Food Bank yang akan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
“Program tersebut juga akan dihadiri menteri Kabinet sebagai tanda sokongan kepada keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mutiara Food Bank yang bermula pada 1 Mei 2017 merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menyampaikan bantuan makanan secara langsung dari rumah ke rumah kepada kelompok memerlukan.
Program itu juga bermatlamat untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan kerjasama pasar raya terkemuka seperti Tesco dan lain-lain.










