Tengku Abdullah zahir simpati kepada keluarga Muhammad Adib - Utusan Malaysia

Tengku Abdullah zahir simpati kepada keluarga Muhammad Adib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan berita anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 9.41 malam tadi.

Tengku Abdullah bertitah, berita kematian itu amat mengejutkan memandangkan sebelum ini, anggota bomba berusia 24 tahun itu menunjukkan perkembangan positif semasa dirawat di IJN.

“Saya mewakili keluarga merasa amat simpati dan sedih dengan apa yang berlaku kepada Muhammad Adib, sebelum ini berita agak positif, ada nampak bertambah baik, tetapi semalam kita dikejutkan dengan kematiannya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan-badan Korporat di Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini hari ini.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak terutamanya golongan muda mengambil iktibar daripada kejadian itu supaya tidak mudah melakukan tindakan agresif dan terburu-buru apabila terjadi sesuatu perkara.

“Anak muda khususnya jangan cepat buat tindakan yang boleh menyebabkan nyawa seseorang melayang, mana-mana tindakan agresif yang boleh mendatangkan musibah cuba elak daripada ia berlaku,” titah baginda. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×