KUALA LUMPUR 18 Dis. – Kira-kira 100 orang termasuk penyokong dan pemilik tapak perniagaan di Taman Tasik Danau Kota, di sini menarik nafas lega selepas kerja-kerja merobohkan premis mereka oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada pagi ini ditangguhkan.
Bagaimanapun, kebimbangan terus dirasai oleh mereka memandangkan pihak berkuasa tempatan itu bertegas untuk melaksanakan operasi meroboh premis yang dibina tanpa kelulusan pada bila-bila masa sahaja.
Pemilik premis, Kamal Mohd. Noor, 47, berkata, dia dan penyokongnya tetap berkeras mempertahankan premis tersebut sehingga ada jalan rundingan dicapai bersama pihak berwajib.
Katanya, kawasan itu sudah lama diterokai dan ia merupakan tapak warisan untuk mereka menjalankan perniagaan selain pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri, mesyuarat dan latihan Muay Thai.
“Kami dah mohon banyak kali kepada DBKL supaya tapak ini diluluskan bagi membolehkan kami menjalankan aktiviti perniagaan namun ditolak.
“Kami juga telah menerima banyak notis berhubung perkara ini tetapi malangnya tiada sebarang rundingan, kata putus dan jalan penyelesaian dicapai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, Kamal dan penyokongnya berkumpul di kawasan premis tersebut bagi menghalang usaha DBKL merobohkan premis di atas tapak seluas kira-kira 0.1 hektar yang didakwa dibangunkan mereka sejak 1993.
Utusan Malaysia dimaklumkan oleh DBKL, arahan untuk kerja-kerja meroboh premis di atas tanah milik kerajaan itu terpaksa ditangguhkan hari ini bagi memberi penghormatan di atas pemergian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Selain bengkel, kawasan premis di atas Lot 28164, Jalan Genting Kelang itu turut menempatkan pusat jualan kereta terpakai serta pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan dan Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia. – UTUSAN ONLINE










