KUALA PERLIS 18 Dis. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berperanan sebagai institusi yang menggalak, mendorong dan membantu bagi meningkatkan kemajuan dan kesejahteraan dari sudut pendidikan dan sosial masyarakat Islam.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif dilaksanakan selaras dengan kehendak syarak, melalui skim-skim bantuan zakat termasuklah untuk Pendidikan seperti Bantuan Persekolahan dan Bantuan IPT Serta Merta bagi pelajar dalam dan luar negara serta Bantuan Dermasiswa Pelajar Perlis di Negara-negara Timur Tengah.
“Zakat telah ditetapkan oleh Allah dengan matlamat utamanya sebagai satu bentuk bantuan kepada golongan fakir, miskin serta memerlukan bagi membangunkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat,” titah baginda.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menerima persembahan Zakat Perniagaan daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kepada MAIPs yang diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.
Pengerusi NEKMAT, Haji Abdul Hamid Bahari menpersembahkan cek bernilai RM 902,000.00 kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang menerima bagi pihak MAIPs.
Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Pengurus NEKMAT Cawangan Kuala Perlis, Zul Norain Sanusi dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Datuk Dr Mohd Radzi Othman.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut mengharapkan peranan dari semua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan serta sektor swasta untuk turut serta membantu mempromosikan pembayaran Zakat Pendapatan kepada pihak MAIPs samada melalui pembayaran ’one off’ atau melalui potongan gaji secara bulanan untuk memudahkan penyumbangnya menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.
Majlis tersebut diadakan bersempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 30 bagi tahun 2018 ini. – UTUSAN ONLINE










