KUALA LUMPUR – “Esok (hari ini) kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk wedding (perkahwinan) kita. Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku.”
Itu antara luahan Nurul Najihah Mohd. Radzi, 25, tunang kepada pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia pada malam tadi selepas cedera parah akibat dipukul perusuh dalam satu kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang, Selangor pada 27 November lalu.
Menerusi satu entri di laman sosial Instagramnya semalam, Najihah berkata bahawa dirinya dan Muhammad Adib sepatutnya pulang bersama-sama pada hari ini untuk perkahwinan mereka pada Sabtu ini.
“ Al-fatihah kudip (Muhammad Adib). Esok (hari ini) kita balik sama-sama untuk wedding kita. Orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku.
“Tenang lah kamu, setenang orang tengok abang,” ujarnya semalam.
Kata-kata tersebut dimuat naik bersama-sama gambar kad perkahwinan mereka yang bertarikh 22 Disember.

Nurul Najihah turut memuat naik gambar berdua dengan allahyarham di ‘instastory’ dengan kata-kata ‘Al-Fatihah. Walau apa pun terjadi, ada kenangan yang tidak dapat diganti’ (No matter what happens, some memories can’t never be replaced).
Terdahulu, Allahyarham Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke kampung halaman, Kampung Tebengau, Kuala Kedah dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, pada pukul 8.50 pagi tadi dan tiba di Kuala Kedah pada pukul 10.30 pagi.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Muhammad Adib selesai dikebumikan pada pukul 1.50 petang dengan dihadiri kira-kira 1,000 ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk yang memberikan penghormatan terakhir. – K! ONLINE










