Polis kawal Kuil Sri Maha Mariamman - Utusan Malaysia

Polis kawal Kuil Sri Maha Mariamman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA 18 Dis. – Keadaan di sekitar kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, dekat sini, terkawal dengan kehadiran pihak berkuasa termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Menurut pegawai polis di lapangan, ketika ini lebih 90 anggota polis ditempatkan di kawasan kuil sebagai langkah keselamatan susulan berita kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, malam tadi.

Pasukan FRU sebelum ini menamatkan tugas berkawal pada 6 Disember lalu telah ditempatkan semula di kawasan sekitar kuil sejak semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasar tinjauan, jalan menuju ke kuil yang ditutup selama tiga jam bermula 6 pagi mula dibuka selepas tiada sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan ini.

Selain itu, lebih 100 anggota polis turut ditempatkan di pusat beli-belah One City sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam kejadian pada awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di sini.

Allahyarham kemudian dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak tiga minggu lalu sebelum meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dalam satu kenyataan memaklumkan kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×