KEPUTUSAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) untuk beberapa tahun lagi seolah-olah menggambarkan rakyat Malaysia masih tidak matang dalam pemilihan pentadbiran tempatan di kawasan masing-masing.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah pun berlalu dan rakyat telah menterjemahkan minda mereka menerusi pilihan kerajaan yang baharu.
Pelbagai alasan diberikan oleh pemimpin-pemimpin PH, kononnya pemilihan PBT memerlukan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi adalah tidak masuk akal.
Rakyat kini sudah matang dan mereka harus diberi hak untuk mengundi bagi perwakilan tempatan kerana mereka lebih mengenali calon-calon di kawasan PBT masing-masing dan ini akan menyenangkan program dan aktiviti pembangunan masyarakat dijalankan di kawasan perwakilan mereka.
Rakyat berhak untuk memilih perwakilan mereka di peringkat kerajaan tempatan menerusi pilihan raya PBT daripada proses lantikan yang tidak diketahui siapa calon berkenaan.
Alasan pembatalan pilihan raya PBT yang berkemungkinan boleh mewujudkan konflik berasaskan perkauman dan boleh menghasilkan keputusan yang salah antara bandar dan luar bandar serta wujud konflik disebabkan perbezaan kaum adalah tidak berasas selagi rekod dan statistik demografi populasi sebenar dikemukakan. Dari sini kita mampu mengukur apakah perbezaan yang amat besar wujud antara bandar dan luar bandar.
Demografi populasi di bandar pada hari ini sudah banyak berubah. Maka alasan, pilihan raya ini akan mewujudkan jurang perbezaan kaum atau sesuatu kaum akan mendominasi pilihan raya PBT adalah tidak boleh diterima.
Turut agak jelas adalah keputusan tidak mengadakan pilihan raya PBT tidak mencapai kata sepakat dan konsensus dalam kalangan keempat-empat parti gabungan PH berkenaan. Kenyataan akhbar oleh setiap pemimpinnya agak jelas tiada perbincangan sesama mereka berhubung pembatalan pilihan raya PBT.
Pilihan raya PBT adalah tonggak amalan demokrasi sesuatu negara kerana ia melibatkan standard dan dasar kerajaan. Langkah tidak mengadakan pilihan raya seolah-olah melemahkan amalan demokrasi negara.
Kebanyakan kerajaan tempatan di dunia melantik ahli majlis mereka menggunakan sistem pilihan raya. Di New Zealand, ahli majlis dipilih melalui pilihan raya dan tempoh pelantikan tersebut adalah selama tiga tahun. Rakyat di sana dibenarkan mengundi menerusi undi pos yang mana kerajaan akan menghantar borang undian melalui pos kepada pengundi.
PENULIS ialah Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan.










