IPOH – “Ini perlumbaan terakhir aku.”
Ungkapan itu sering diulang-ulang oleh pelumba Cub Prix, Mohd.Hafiz Nor Azman, 22, kepada rakan-rakannya sebelum menyertai perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor semalam.
Pada perlumbaan tersebut, Mohd. Hafiz yang merupakan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing kategori CP150 maut selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir perlumbaan itu.
Menurut rakan mangsa, Nurhan Md. Nayan, 22, Mohd. Hafiz yang ditemuinya semasa menghadiri majlis kenduri minggu lalu berulang kali menyebut perlumbaan yang disertainya semalam adalah perlumbaannya yang terakhir.
Katanya, Mohd. Hafiz juga ada memberitahu yang dia akan melakukan yang terbaik pada perlumbaan itu untuk mendapatkan kedudukan ketiga keseluruhan kategori CP150.
“Banyak kali dia sebut yang ini last race (perlumbaan terakhir) dia. Dia akan buat yang terbaik dan tidak sangka yang ini betul-betul perlumbaan terakhir dia. Kami terkejut sangat dan tidak sangka dia dah tiada,” ceritanya ketika ditemui di rumah keluarga Mohd. Hafiz di Kampung Serdang Permai, Kampung Kepayang di Simpang Pulai di sini semalam.
Sementara itu, kakak sulung Mohd. Hafiz, Nor Shaziela, 30, berkata, dia terkilan apabila hajat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa kedua-dua ibu bapa mereka mengerjakan umrah tidak kesampaian.
Katanya, dia yang akan turut sama menyertai Mohd. Hafiz telah menyediakan kesemua kelengkapan dan mereka dijangka bertolak mengerjakan ibadah tersebut pada 27 Januari depan.
“Dia memang berhajat bawa mak dan abah pergi umrah, dia memang beritahu awal-awal kepada kami. Semua persiapan telah siap dan tak sangka hajat dia tak sampai.
“Semasa kejadian, saya menonton perlumbaan tersebut dan hanya fikir dia tidak apa-apa sebab nampak dia bangun selepas terjatuh. Emak pun beritahu Hafiz selamat,” katanya.
Menurut Nor Shaziela, dia bagaimanapun terkejut apabila ibunya menghubungi semula dan memberitahu adiknya itu telah tiada.
“Emak cakap, mereka pergi ke sana (Johor) bertiga (bersama ayah), tidak sangka balik semula ke sini (Ipoh) berdua,” katanya yang memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang hari ini.










