Wazi gesa siasatan menyeluruh kemalangan di litar - Utusan Malaysia

Wazi gesa siasatan menyeluruh kemalangan di litar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 17 Dis. – Siasatan teliti dan menyeluruh perlu dijalankan terhadap sebarang insiden meragukan yang berlaku semasa perlumbaan motosikal sehingga menyebabkan kematian.

Legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid berkata, beberapa keraguan yang timbul itu perlu diperhalusi dengan mewujudkan jawatankuasa yang melibatkan golongan yang pakar dalam isu-isu kemalangan di litar.

“Kalau mahu kata ada kecuaian, ia tidak adil tetapi boleh diperhalusi dengan mewujudkan jawatankuasa untuk melihat semula kejadian itu selain mencari penyelesaian dalaman.

“Berdasarkan pengalaman sebagai pelumba negara, boleh (kemalangan) diberi satu kajian menyeluruh bagaimana ia berlaku. Kajian itu melibatkan semua pihak bukan sahaja penganjur, pemberi lesen, pelumba malah pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarah jenazah pelumba Cub Prix, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, di kediaman keluarga pelumba itu di Kampung Serdang Permai, Kampung Kepayang di Simpang Pulai di sini hari ini.

Pada perlumbaan tersebut, Mohd. Hafiz yang merupakan pelumba Cub Prix daripada Petronas Sprinta-Yamaha CKJ Racing kategori CP150 maut selepas terbabit dalam kemalangan pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar di Johor semalam.

Menurut Wazi, siasatan dan kajian yang dilakukan itu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang selepas kejadian sama yang mengorbankan pelumba negara dua tahun lalu di Terengganu.

“Ini kemalangan kedua dalam dua tahun berturut-turut dan kita melihat ada beberapa perkara yang meragukan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemalangan yang meragut nyawa Mohd. Hafiz, Wazi berkata, kehilangan pelumba muda itu merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

“Kita kehilangan bakat sangat muda dan berpotensi serta menjadi ikon kepada generasi muda. Saya mengenali Mohd. Hafiz sejak kecil dan dia adalah bintang yang boleh diketengahkan lebih jauh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×