KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut manakala dua anak perempuannya cedera selepas kereta Honda City dinaiki mereka bertembung dengan kereta Honda Civic dalam kemalangan di Lebuh Raya Desaru-Senai di sini awal pagi hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 3.51 pagi itu menyebabkan pemandu Honda City, Mahadi Ali, 45, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anaknya cedera.
Kejadian itu turut menyebabkan pemandu Honda Civic dan tiga lelaki yang juga penumpang cedera.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Suhairi Md. Sujod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.51 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan dua buah jentera bersama enam anggota.
“Sejurus sampai di tempat kejadian, bomba terus membawa mangsa yang cedera ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk rawatan.
“Manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE










