PASIR MAS 16 Dis. – Beberapa kampung di sekitar Meranti dan Gelang Mas, di sini mula ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Golok sejak semalam.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Bakong, Kampung Siram dan Kampung Kubang Pak Itam di Meranti serta Kampung Kolam dan Kampung Kaloi di Gelang Mas.
Ketika ini, paras air Sungai Golok direkodkan berada pada paras amaran 8.87 menghampiri paras bahaya 9 meter.
Walau bagaimanapun, setakat ini, pusat pemindahan banjir (PPS) masih belum dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.
Tinjauan Utusan Online mendapati kawasan Kampung Kolam paling teruk terjejas apabila ditenggelami air antara 0.5 hingga 1 meter dan penduduk mula memindahkan kenderaan ke tempat yang lebih selamat.
Sementara itu, seorang penduduk, Ismail Teh, 64, berkata, air sungai melimpah masuk ke kampung itu sejak semalam.
Katanya, dia sentiasa peka dengan paras air Sungai Golok menerusi laporan berita di radio dan televisyen bagi mendapatkan perkembangan terkini
“Jika paras air Sungai Golok berada di tahap bahaya saya dan seluruh keluarga akan bersiap sedia untuk berpindah,” katanya. -UTUSAN ONLINE










