Kutipan cukai ke atas pelancong di Kuala Perlis kurang praktikal - Utusan Malaysia

Kutipan cukai ke atas pelancong di Kuala Perlis kurang praktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 14 Dis.- Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis menyifatkan cadangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan cukai ke atas para pelancong yang menggunakan Kuala Perlis untuk ke pulau peranginan Langkawi, Kedah, sebagai kurang praktikal.

Pengerusinya, Dr. Ammar Hassan berkata, ketika rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, kerajaan negeri perlu memikirkan cara lebih baik selain daripada menambah lagi beban dihadapi golongan berkenaan.

Ujar beliau, antaranya adalah dengan memohon 10 peratus daripada cukai sempadan yang dikenakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap urusan keluar dan masuk barang di dua pintu masuk di negeri ini iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian.

“Jika di Terengganu, kerajaan Persekutuan memberikan royalti kepada minyak yang diambil dari negeri itu, mengapa tidak ‘royalti’ (insentif sebanyak 10 peratus) sama diberikan kepada Perlis, hasil pendapatan daripada pintu masuk sempadan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri sedang meneliti untuk memperkenalkan cukai ke atas para pelancong yang menggunakan Kuala Perlis untuk ke Langkawi sebagai sumber pendapatan baharu.

Jika setiap pelancong ujar beliau, dikenakan cukai sebanyak RM1 seorang, maka kerajaan negeri mampu mengutip lebih RM5 juta berikutan seramai 5.4 juta orang direkodkan datang ke negeri itu untuk tujuan tersebut, pada setiap tahun.

Ammar seterusnya memberitahu, pihaknya yakin jumlah diperoleh hasil daripada insentif berkenaan yang dikutip JKDM saban tahun jauh lebih tinggi berbanding cukai dikenakan kepada pelancong di Kuala Perlis sekali gus mampu memberi manfaat kepada pembangunan negeri ini.

Katanya, beliau menganggarkan kerajaan Persekutuan memperoleh pendapatan kira-kira RM200 juta setahun iaitu hasil daripada urusan keluar dan masuk barang di sempadan menerusi JKDM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×