Ikmal Hazlan tidak ikut jejak bapa - Utusan Malaysia

Ikmal Hazlan tidak ikut jejak bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH 14 Dis. – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham yang juga anak kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz enggan mengikut jejak bapanya yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah itu menegaskan, beliau tetap setia bersama UMNO dan mahu meneruskan perjuangan dalam parti itu biarpun tidak lagi berada dalam ‘kenderaan’ politik yang sama seperti sebelum ini.

Katanya, hakikat bahawa mereka tidak lagi berkongsi perjuangan sama amat berat diterima namun beliau tetap menghormati keputusan bapanya dan yakin hubungan mereka anak beranak tidak akan terjejas disebabkan perkara tersebut.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Keputusan ayah untuk mengundurkan diri sebagai Ketua UMNO Tanah Merah dan keluar parti sesuatu yang amat berat bagi dirinya serta diri saya sendiri.

“Saya hormati keputusan ayah dan akan terus beristiqamah (bersama UMNO). Terima kasih ayah atas nasihat dan dorongan sepanjang perjalanan politik Lan. Insya Allah, perjuangan ayah di medan parti politik UMNO akan Lan teruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ikmal Hisham mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah dan keluar parti di hadapan kira-kira 800 penyokong dalam satu majlis di Bangunan UMNO Gual Ipoh, di sini.

Pengumuman yang dibuat di hadapan barisan pemimpin parti dan sayap bahagian, termasuk anaknya sendiri itu menyebabkan kebanyakan hadirin sebak dan menangis

Susulan keputusan pengunduran Ikmal, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Mohd. Almidi Jaafar dipilih untuk memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×