ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun lebam pada mulut dan keseluruhan badan akibat ditampar dan ditendang teman lelakinya yang berang selepas tidak diberikan kad sim dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tunku Putra, Kulim dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu berlaku apabila suspek berusia 18 tahun bertindak masuk ke dalam rumah didiami mangsa untuk mengambil telefon bimbit milik teman wanitanya.
“Semasa kejadian, berlaku perselisihan faham kerana remaja perempuan terbabit tidak mahu memberikan kad sim kepada suspek menyebabkan dia ditampar pada muka dan ditendang di bahagian badan beberapa kali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa kemudian membuat laporan polis dan suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 4, Sungai Ular, Kulim kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam.
“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan mencederakan mangsa. – K! ONLINE










