KUALA LUMPUR – Penyanyi Kaka bakal menamatkan zaman bujangnya dengan Adam Azriff yang juga ahli perniagaan di Klang, Selangor malam ini.
Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi mengesahkan majlis pernikahannya akan berlangsung pada malam ini.
“Ya, memang benar saya akan bernikah malam ini. Maaf, saya tidak boleh bercakap banyak kerana sedang sibuk dengan urusan majlis pernikahan.
“Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan rakan media yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini dan selalu mendoakan kebahagiaan saya,” ujar pelantun lagu Sibuk itu ringkas.
Sementara itu, ibu saudara Kaka iaitu Jojie Aminuddin mendedahkan majlis pernikahan berkenaan bakal berlangsung secara tertutup dan hanya membabitkan keluarga serta kenalan rapat kedua belah pihak sahaja.
“Betul, Kaka akan bernikah malam ini. Cuma majlis membabitkan keluarga kedua belah pihak saja. Insya-Allah, majlis bersanding nanti baru jemput ramai.
“Saya gembira untuk mereka. Lagi pula, tahun depan Kaka sudah nak masuk usia 30 tahun. Saya bersama keluarga lain sentiasa menyokong kerana kahwin adalah perkara baik,” dedah Jojie.
Kaka, 29, menerusi Instagram semalam memuat naik status yang menggambarkan majlis pernikahannya bakal berlangsung.
“Saya akan senyum seperti ini esok (hari ini),” tulisnya seraya meletakkan tanda pagar #grateful, #syukur #family dan #love dalam perkongsian gambar sewaktu dirinya kecil. – K! ONLINE











