RANTAU PANJANG 14 Dis. – Beberapa kawasan rendah di sekitar Sungai Golok, di sini mula dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu di kawasan hulu Kelantan, khususnya Jeli.
Tinjauan Utusan Online mendapati beberapa kawasan rendah seperti Kampung Lachang, Teresang, Tok Deh, Bongor dan Kelawar sudah ditenggelami air.
Terdapat lokasi tertentu di Kampung Bongor dan Kelawar dinaiki air sehingga setinggi kira-kira satu meter menyebabkan penduduk menggunakan bot sebagai pengangkutan utama.
Bagaimanapun setakat pukul 3 petang ini, masih tiada pusat pemindahan dibuka.
Menurut laman sesawang Infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok direkodkan sudah berada pada paras amaran iaitu 8.73 menghampiri paras bahaya 9 meter.
Sementara itu, seorang penduduk Syed Al-Amin Syed Hanafi, 14, berkata, paras air Sungai Golok didapati mulai naik sejak malam tadi.
Katanya, para penduduk sudah membuat persiapan dan bersedia berpindah pada bila-bila masa. -UTUSAN ONLINE











