Selepas SRIDI, SMIDI juga ditubuhkan di Terengganu - Utusan Malaysia

Selepas SRIDI, SMIDI juga ditubuhkan di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 14 Dis. – Selepas Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), kerajaan negeri memutuskan untuk mewujudkan pula Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) di setiap daerah di Terengganu.

Kesemua SMIDI itu akan diwujudkan di kesemua lapan daerah secara berperingkat-peringkat dengan sekolah pertama dibangunkan di tapak asal Kolej Islam Sains Terengganu (KIST) di Hulu Terengganu yang dijangka mula beroperasi tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pada masa ini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih bangunan selama setahun bermula tahun ini sebelum dibuka semula tahun depan.

“Penubuhan SMIDI ini adalah kesinambungan daripada SRIDI dan sekolah ini akan menggunakan modul serta silibus Arab sebagaimana dilaksanakan di sekolah-sekolah aliran Arab suatu ketika dahulu.

“Tapak KIST ini pada asalnya akan dibangunkan sebuah kolej (Kolej Al-Quran Terengganu) tapi memandangkan dari segi keluasan hanya 100 ekar (40 hektar) serta keadaan bentuk muka buminya tidak begitu sesuai, maka kerajaan putuskan untuk wujudkan SMIDI di situ,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Haflu Al-Takrim Al-Sanawi 2018 Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Sebelum ini beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal membuka rangkaian Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) yang akan beroperasi mulai sesi persekolahan 2019.

Buat permulaan, SRIDI, salah satu daripada tawaran dalam manifesto Pas akan dibuka di lima daerah iaitu Dungun (Bandar Al Muktafi Billah Shah); Hulu Terengganu (Ajil); Marang (Binjai Rendah); Kuala Nerus (Manir) dan Besut (Kampung Raja).

Satiful Bahri seterusnya menjelaskan, sebagai alternatif, kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan lain yang lebih sesuai seluas antara 120 hingga 160 hektar untuk jadikan kampus KQT kelak.

Menurutnya, selain SMIDI di Hulu Terengganu, baki tujuh lagi SMIDI akan diwujudkan di bandar lestari di setiap daerah di negeri ini dan buat masa ini terdapat dua bandar lestari di Terengganu iaitu di Kuala Nerus dan Dungun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×