Janin dalam tandas: Wanita direman 3 hari - Utusan Malaysia

Janin dalam tandas: Wanita direman 3 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 14 Dis. – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah tahanan reman terhadap seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan janin bayi dalam lubang tandas di sebuah kilang pengeluar cip terkemuka di Batu Berendam pada Selasa lalu.

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd. Anuar Ostadi terhadap wanita berusia 34 tahun itu.

Suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Wanita itu ditahan selepas dikesan mendapatkan rawatan di wad bersalin Hospital Melaka kira-kira pukul 5 petang pada Rabu lalu.

Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja penyelenggara terkejut selepas menemukan satu janin dipercayai bayi lelaki baru berusia enam bulan terlekat di dalam lubang tandas wanita di kilang berkenaan.

Bayi cukup sifat seberat 450 gram itu ditemukan lelaki terbabit ketika melakukan kerja-kerja membaiki tandas yang tersumbat di tingkat satu kira-kira pukul 10.30 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×