JERANTUT – Semua pengusaha bot di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan di sini wajib memastikan penumpang mereka memakai jaket keselamatan terutama pada musim tengkujuh ketika ini.
Kegagalan berbuat demikian boleh mendedahkan penumpang kepada segala kemungkinan bahaya kerana paras air Sungai Tembeling yang semakin meningkat disebabkan hujan lebat sejak tiga hari lalu.
Tinjauan Kosmo! Online di Jeti Sungai Tembeling dekat Taman Negara di sini hari ini mendapati hampir semua penumpang bot tidak memakai jaket keselamatan walaupun sudah disediakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, senario berkenaan tidak wajar dipandang remeh kerana ia boleh mengundang kejadian tidak diingini.
“Air sungai di sekitar Taman Negara Kuala Tahan semakin meningkat, malah arusnya pun lebih deras.
“Banyak kayu-kayu besar yang hanyut. Pemandu bot mesti mengutamakan keselamatan penumpang pada setiap masa,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Bot menjadi kenderaan utama bagi penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman sekitar Kuala Tahan untuk mendapatkan barang keperluan di pekan Jerantut.
Mohd. Zakhwan menambah, pengusaha bot perlu memastikan penumpang memakai jaket keselamatan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Pemandu bot berhak untuk tidak memulakan perjalanan jika ada penumpang yang degil dan tidak mahu memakai jaket keselamatan.
“Agensi-agensi pelancongan juga perlu memberi maklumat kepada pelancong mengenai keadaan cuaca serta paras air sungai supaya tidak ada yang terperangkap sekiranya berlaku kejadian banjir,” jelasnya. – K! ONLINE










